Tuesday, December 28, 2010

CUTI-CUTI . . .


Marhaban bi kum! Jumpa lagi. Tapi Nek Ngah nak beritahu kali ni tak de cerita pasal Nek Ngah nak gi hari ni, ikut rombongan warga emas naik bas ke Langkawi. Jauh tu kan! So 2, 3 hari Nek Ngah tak bercerita lah. Insya Allah bila balik Nek Ngah akan sambung cerita-cerita Nek Ngah.

OK, jaga diri baik-baik, take care!

Monday, December 27, 2010

LAIN DULU LAIN SEKARANG

Kali ini Nek Ngah nak cerita sikit pengalaman Nek Ngah tinggal di Makkah pada tahun 70an dulu. Lama dah tuuu . . . kan? Tapi masih segar dalam ingatan.

Masa tu tak ada pakej haji ke, muassasah ke. Tabung Haji cuma uruskan hal berangkat pergi balik. Kat sana jemaah di bawah kelolaan Pak Sheihk Arab yang biasanya akan datang ke Malaysia sebelum musim haji untuk melobi jemaah supaya mengikut jemaah mereka. Mereka menyediakan tempat tinggal jemaah di Makkah dan Madinah dan menguruskan segala perjalanan ibadat haji kita orang. Pada tahun 1974, Pak Sheikh Nek Ngah namanya SIRAJ BAKUR. Rumahnya dekat sangat kat Masjid masa tu, dekat rumah kelahiran Nabi s.a.w. Tahun 1977 Nek Ngah ikut jemaah Pak Sheikh ABDULLAH dan anak-anaknya. Kenal mereka masa haji 1974 dulu. Rumah mereka di Sugulail dekat rumah Sayidina Ali, di lorong belakang rumah kelahiran Nabi s.a.w. Alahai . . . sekarang dah tak de dah . . . dah clear langsung.

Rumah Pak Sheikh ni bertingkatlah juga. Tapi dibuat dari tanah je - tangganya mak tuan . . . tak tentu jarak anak-tangganya (kadang-kadang rapat, kadang-kadang jarang). Lorong tangga gelap dan sempit. Di rumah Pak Sheikh Abdullah, Nek Ngah dan Mak dapat bilik khas untuk 2 orang di tingkat paling bawah - tiada katil pun. Kami tidur atas lembek (tilam yang nipis). Kita orang kena masak sendiri. Oleh itu first thing bila sampai Makkah ialah beli dapur minyak, cerek air dan 1 periuk kecil. Arwah Mak pakar masak dalam keadaan terhad ni. Dengan 1 periuk kecil, Arwah boleh masak nasi, lauk sayur dan 1 masak pedas ayam ke, daging ke, ikan ke! Nek Ngah tukang kemas dan basuh pinggan (hee . . hee . .)

Ini gambar Mak Nek Ngah di 'dapur' bilik kami. Masak dalam bilik tidur, you!

Tenguklah keadaan bilik tu, tapi Alhamdullillah . . . selesa lah juga untuk 2 orang. Tapi satu Nek Ngah tak tahan ialah toilet dia - attached bathroom lah juga, tak berbau, tak de WC yang duduk punya, cuma ada satu lubang dan pakai jerus je. Hee . . hee . .

Air minum kena beli daripada orang Yemen, yang pikul 2 tong air (bukan zam-zam pun!) ke hulu ke hilir. Dulu mana ada air mineral, yek. Air sangat berharga masa tu tau, lebih berharga dari minyak diesel.Yang gambar ni - Mak Nek Ngah dengan khadam Pak Sheikh, lupa lak nama dia - dari Pakistan - di satu sudut ruang bilik. Mereka bersimpuh atas lembek (tilam) yang Nek Ngah ceritakan tu. Nek Ngah tidur atas lembek tu lah.


Gambar atas - Tempat tidur Nek Ngah Haji baru-baru ni. Camna?

Akhir sekali gambar ini diambil dalam ruang tamu bilik Pak Sheikh dan famili di tingkat paling atas - betudung hitam tu isteri Pak Sheikh Abdullah, 3 puteri kesayangan mereka paling kanan dalam gambar - Thana', Amal dan si comel Khulud. Simple je tempat kediaman mereka. Yang pentingnya tempat tinggal mereka sangat hampir dengan Masjid al-Haram.

Tetapi sekarang semuanya tinggal kenangan. Tiada satu tanda pun yang wujud yang membuktikan mereka pernah tinggal di sini. Mana agaknya keluarga ini, ye. Satu masa dulu mereka sangat rapat dengan Nek Ngah. Alahai . . . . Aina antum ?

Sunday, December 26, 2010

DULU-DULU

Nek Ngah teringat masa dulu-dulu, lalu Nek Ngah gi ke store, cari kotak yang tersimpan album gambar lama. Mana dia album gambar kat Makkah tu tahun 1977 yang Nek Ngah pegi kali ke-2 ngan arwah Mak Nek Ngah (Moyang kamu le). Masa tu ada gak Nek Ngah ambil gambar. Mana aaa? Aaa . . . alhamdulillah . . . dengan mudah dapat cari. Ni lah Nek Ngah nak tampal sini dua, tiga gambar tu - nak bandingkan ngan suasana haji sekarang.

Nek Ngah mulakan ceeta dengan tunjuk gambar black & white arwah Mak dan fren dia dalam kapal (lupa lak nama kapal tu - Ansun ke? Tak ingatlah, orang lama katakan!). Depa naik kapal gi Haji. I think that was the last time Tabung Haji gunakan kapal - tahun 1974. Tambang dia sama dengan kapal terbang masa tu - Nek Ngah ingat lagi, pasal Nek Ngah naik kapal terbang, Mak naik kapal laut - RM 2325.00 je - nanti kami jumpa di Makkah. Mak kata 2 minggu dalam kapal - macam-macam pengalaman dalam kapal. Ohh . . ini topik cerita lain kali, K?

Kan Nek Ngah dah kata, dulu hanya boleh ambik gambar kat luar Masjid je? Gambar di atas ni diambil di luar kawasan Sai'e. Belum termimpi lagi dataran lantai marmar di luar kawasan Sai'e masa tu. Kereta boleh park sampai dekat pintu Babus-Salam, yaaa . . . . Kalau hujan lebat (terjadi masa tahun 1974 tu) kawasan ni dipenuhi dengan air deras dari perkuburan Ma'la, yang sapu semua kereta tu hingga terdampar di satu dinding hujung Sai'e tu. Yaaa . . . Nek Ngah nampak sendiri - tak bohong punya! Masjid Al-Haram terletak di tengah-tengah wadi atau lembah, jadi bila hujan lebat je, terjadilah banjir kilat sekitar Kaabah. Bandingkan dengan gambar bangunan Sai'e kat bawah ni yang Nek Ngah ambik baru-baru ni. Mestilah ada pembangunan kan? Tapi pintu Babus-Salam dah tak nampak dah, semua pintu sama je.

Dah ceeta pasal bangunan lama ni, ni Nek Ngah selitkan gambar di luar Masjid Nabi di Madinah lak. Tenguk gambar-gambarnya berikut :

Tenguklah sendiri, siapa yang dah pegi ke sana. Lain kan? Ni kat luar Masjid Nabi lah - Nek Ngah & arwah Mak. Masjid Nabi dulu-dulu kecik je tapi seni dan suasana dalamnya . . Masya Allah . . . Tenang, lapang dan syahdu . . La ni kan kawasan wanita solat rasa sempit je, dulu kan separuh ruang Masjid dari Maqam Nabi hingga ke pintu belakang khas untuk jemaah perempuan! Ni juga cerita lain kali, K!

Ni lak suasana shopping kat bazar betul-betul kat luar pintu Masjid Nabi.

Hasanan. Ok lah tu. Pada posting yang berikut nanti, Nek Ngah nak cerita lak pasal tempat tinggal Nek Ngah di Makkah musim Haji 1977.

Jumpa lagi . . . Ma'a Salamah . . .

Saturday, December 25, 2010

MAAFI KAA-ME-RA

Dulu-dulu masa nak masuk Masjidil Haram, Security Guard Arab, baik lelaki atau perempuan kat pintu tu, akan tahan jemaah dan menyelongkar beg bimbit - nak chek lah ada barang merbahaya ke atau kamera ke tak (dulu belum ada hand phone). "Fii kaamera?" Ada kamera tak? Nek Ngah akan jawab, "Maafi kaamera." Tak de kamera. Kadang-kadang Makcik guard perempuan tu akan raba-raba badan jemaah perempuan - nak cek lah tu . . . Hey . . . tak boleh bawak masuk alat perakam dan makanan . . masa bulan Puasa pun, tak boleh bawa makanan - roti ke, kuih ke, samosa ke, nasi ke - untuk berbuka! So strict one! So kita orang buka dengan air zam-zam yang banyak dalam masjid dan buah tamar je lah, kadang-kadang dengan ikhsan keluarga Arab berdekatan, akan beri kita roti atau youghert (tairu). Ada kawan Nek Ngah tu entah camana dia sorokkan makanan, boleh je bawa masuk.

Seingat Nek Ngah lah larangan bawa masuk kamera tu ialah selepas satu rusuhan di Masjidil Haram pada tahun 1979. Sebelum tu Nek Ngah ambil gambar kat luar masjid, dekat pintu - boleh . . . Lepas kejadian tu, nak ambik gambar 100 meter sekitar masjid pun nanti polis rampas kamera kita. Apa lagi nak bawa masuk kamera ke dalam masjid! Kalau curi-curi boleh kot, tapi tu kan dah berdosa!

Tapi lately Nek Ngah tenguk dalam majalah ke paper ke, internet ke, ramai jemaah (especially selebriti) posing-posing sakan depan Kaabah. Ooooo . . bukan kes curi-curi ni, memang jelas dibenarkan. So Haji baru ni, Nek Ngah bawa masuklah kamera digital Nek Ngah, also fon bimbit. Memang tak cek langsung beg Nek Ngah kat pintu. Nek Ngah tenguk 'every Dick and Henry' (maaf cakap - ramai oranglah tu) ada hand phone atau kamera. Yang bercakap kat hand phone - even masa sedang tawaf), ambik video emak / isteri dia sedang tawaf atau sa'ie (mulut berzikir, tapi jejari picit butang kemera video), rakam suara azan, posing sorang-sorang, berdua, beramai, satu rombongan, dengan hand phone dengan kamera . . . hai . . macam-macam gelagat manusia! Hee. . hee . . termasuklah Nek Ngah - bila rasa ngantuk tu menunggu waktu, Nek Ngah sms kat Nek Lang dan kawan-kawan kat Malaysia! Tok Shau gak sibuk ambik gambar. Tenguklah gambar-gambar yang diambil ni. . .

Senario dalam Masjidil Haram dirakam dengan kamera digital oleh Tok Shau

Ini Nek Ngah ambil dengan hand phone Nek Ngah
Ambil peluanglah buat kenang-kenangan Nek Ngah dan member-member

Suka hati lu lah Nek Ngah . . . Bye, ma'a salamah wa illal li qa', jumpa lagi weyyy . . ..

Friday, December 24, 2010

DAH TAK DE

DAH TAK DE DAH . . . . . !!! Setahun- dua kebelakangan ni, bila kawan-kawan Nek Ngah balik dari Umrah atau Haji, dia orang kata, "DAH TAK DE DAH . . ." Apa yang dah tak de tu? Ni ah Nek Ngah nak cerita kali ni.

Satu pagi selepas sunat Dhuha, Nek Ngah ajak Tok Shau temankan jalan-jalan tenguk pembangunan kota Makkatul Mukarammah. Biasanya jalan terus je ke Masjid, kali ni nak 'round-round' lah nak tenguk ye ke DAH TAK DE DAH? Rasanya Nek Ngah ke Makkah ada lah lebih 10 kali. Last sekali tahun 2006, Umrah bawa Tok Shau dan Mama Zizi.

2006 - Persekitaran Masjidil Haram (belum nampak lagi jam Besar)

2006 - Mohd Azizi di hadapan hotel Zahret Makkah, beberapa langkah je dari Babul Umrah

2006 - Tok Shau berdiri di hadapan Hotel New Safa, background Masjidil Haram

2006 - Ini Nek Ngah di hadapan Hotel Najd - tinggal di sini semasa buat Haji 2002

2006 - Menikmati jus mangga kegemaran di gerai lorong beratap

Lahhh . . . betullah kata kawan-kawan Nek Ngah. Bahagian sebelah Masjid dari Pintu Umrah (Babul Umrah) hingga lah ke Pintu Fatah (Babul Fatah) DAH TAK DE! Aiiiiii . . . mana pergi Hotel Makkah yang gah tu . . mana dia Zahret Makkah yang Tok Shau, Mama Zizi & Nek Ngah tinggal dulu . . . mana pergi Hotel Sheraton 15 tingkat yang dindingnya dari batu marmar pink berkilat tu . . mana Hotel Al-Raed, New Safa Hotel - kubu Syarikat Utas . . . mana dia kedai Pakistan favourite Nek Ngah yang jual samosa panas-panas masa bulan Ramadhan . . . oh mak, mana kedai gula-gula toffee, kekacang NUTKALY yang popular dengan jemaah Malaysia . . . mana dia jalan beratap tu . . . mana, mana, mana ! ! ! ! DAH TAK DE DAH . . . saheh, betul!

Huu . . huu . . sedih gak rasanya tenguk semuanya dah tak ada. Masa dulu bila tinggal di Makkah Hotel atau Zehrat Makkah, dekaaat je kat Masjid. Dengar Qamat boleh lagi lintas jalan, turun tangga sikit dah masuk pintu Umrah. Semuanya dalam kenangan kini - nasib lah ada gambar-gambar lama.

Di hadapan Pintu Umrah - lihat lah Masjid rendah dari jalan raya - 2006

Ini lak Nek Ngah di hadapan Pintu Umrah - dah sama rata dengan jalan raya - 2010


Ya, kota Makkah perlu membangun untuk menampungi tetamu-tetamu Allah yang makin meningkat jumlahnya - baik musim Haji atau Umrah. Entah macamana rupanya nanti ya, bila dah selesai - macam New York, Paris, Canberra ? Oh, tidak . . . .



Ni dia korek-korek, gali-gali sekitar kawasan dari Babul Umrah ke Babul Fatah. Bila siap agaknya, yek?

I miss the old Makkah . . . .

Thursday, December 23, 2010

MAKAN

Kaifa hallu kum? Apa khabar?

Setiap Jumaat makan tengahari - spesial Nasi Kuning

Pada post lepas Nek Ngah cerita pasal makanan hospital kan? Kali ini nak ciitalah makanan yang disediakan dalam pakej 'Muassasah' Tabung Haji. OK lah tuuu . . Tabung Haji sediakan makan 2 kali sehari - tengahari dan malam je. Sarapan pagi, sendirian berhad. La musykilah . . no problem, tak de masalah pasal setiap pagi ramai penjaja Patani, Kelantan, Indon jual macam-macam makanan di sepanjang jalan di luar Bangunan Janadriyah tu - nasi lemak, nasi kerabu, mee goreng, kueh pedas / manis, bubur nasi dll. Di kafeteria hotel pun terdapat pelbagai jenis sarapan. Kat restoran India berdekatan pun ada roti canai, kari ayam, kebab, nasi bariani . . . hm . . sediakan je lah Rial! Tabung Haji juga sediakan untuk setiap jemaah satu kotak mengandungi peket-peket teh, gula, krim susu mencukupi selama tinggal di Makkah. Dalam setiap bilik ada 'jug' masak air dan peti ais. Kan OK tu?

Ni kedai roti canai. Kuah kari ayam ke kena beli asing. Mak tuan mahalnya . . sampai 7 Rial seketul!

Yang ni jual roti Arab - murah lak tu - 3 keping baru 1 Rial!

Ni lak jual bubur nasi favourite Nek Asni - 3 mangkuk 5 Rial

My favourite - kedai sandwich & jus mangga pekat, yuuuuummm! Thanks Tok Shau, selalu belikan untuk Nek Ngah . . .

Selepas solat Zohor dan Isyak, salah seorang dari penghuni bilik akan volunteer gi ambil peket-peket makanan, buah dan air mineral dari tempat agihan makanan untuk setiap tingkat, di hujung ruang legar lif. Peket makanan disimpan dalam oven di belakang tu, jadi ianya sentiasa panas. Kepada budak-budak yang bertugas tu, "Syukran, ya Muhammad!" Nek Ngah tak ingat nama mereka.

Kadang-kadang kami makan dalam bilik masing-masing. Kadang-kadang makan di luar pintu bilik bila ada lelaki dan perempuan. Ramai keluarga buat seperti ini - silaturrahim bersama ahli bilik dan silaturrahim bersama ahli keluarga.

Hingga jumpa lagi, Ma'a salamah wa barakallah fii kum.

Wednesday, December 22, 2010

MASUK WAD


What? Masuk wad? Siapa? Apakah hal? Panic! Gempak! Ahhh . . . ni lah Nek Ngah nak cerita ni. . .
Sepanjang 5 hari baru sampai, Nek Ngah sangat excited gi Masjid dalam suasana cuaca yang panas, berdebu pasal banyak pembangunan sedang dijalankan dan jemaah bersesak-sesak ke hulu ke hilir. Kena pakai topeng (mask) kalau keluar. Nak jadi cerita, Nek Ngah pun mula-mula demam sikit-sikit je. Pas tu satu pagi sesak nafas . . . Nek Asni temankan Nek Ngah ke klinik Maktab 73 di tingkat 7 (Nek Ngah Tingkat 9 - dekat je klinik!). Jumpa Dr Zahari yang sangat prihatin. Dr kata Nek Ngah ada lelah. So kenalah gunakan mesin-apa-tu yang kena sedut ubat gas? Dr kata "Nak mudahkah Hajah bernafas." Selepas 20 minit, Nek Ngah rasa ok, Dr suruh ambil ubat kat Farmasi di Tingkat Bawah:-

Dah tu, lepas Zohor Nek Ngah sesak nafas balik. Kali ini Tok Shau temankan Nek Ngah jumpa Dr Zahari. Gunakan mesin nak legakan nafas macam pagi tadi. Lama pas tu, 3 orang Doktor berbincang dan didapati Nek Ngah kena "Pneumonia - chronic bronchitis" - bahasa mudah - terdapat paru-paru Nek Ngah berair. So mereka 'wheel' Nek Ngah ke Klinik Kecemasan di Tingkat P (Bawah). Nek Ngah fikir ini satu pengalaman yang baik, bukan semua para haji dapat merasai layanan hospital . . . di Makkah lak tu . . Hee, hee . . .

Macam suka je . . .

Masuk aje, kena ambil darah, buat ECG etc, masuk air. Nek Ngah dilayan dengan sangat baik oleh team Perubatan Tabung Haji - Dr Anwar, Dr Noraini, misi-misi yang mesra, even oleh Noraini yang kecil molek yang menyediakan makan-minum di Mini Hospital ni. Oii . . makanan lebih baik (pendapat Nek Ngah!) dari yang disediakan untuk Haji/Hajah di atas - dihidang dalam dulang, sebelum tidur diberi minum Milo panas dan biskut, selepas Subuh ada Milo panas lagi dan roti sapu mentega 2 keping. Adik-adik Nek Ngah kat Bilik 933 jealous dengar bila Nek Ngah ceritakan.


Gambar atas : Makan malam - nasi putih, ikan masak pindang (pesakit lah katakan), sayur kangkung, epal siap dipotong dan air mineral. Teh panas diberi kemudian. Hmm . . ok lah tu!

Nek Ngah fikir yang baik-baik je - POSITIVE. (Bak kata Amal 10-going-to-11. Tak nak Nek Ngah tua, so Nek Ngah kena fikir Positive. Mana dia dengar ni?) Sangat bersyukur, rupanya Allah nak Nek Ngah dapat rawatan lelah ni di Tanah Suci. Bukan Nek Ngah tak pergi jumpa Dr Selva kat Melaka sebelum ni. Dia pun ada sebut Nek Ngah ada lelah. Rupa-rupanya ubatnya ada di Makkah. Selain tu, Nek Ngah dapat perhatikan bagaimana sibuknya Klinik Kecemasan di sana (macam sick bay di Asrama) juga pelbagai pesakit yang datang, semuanya dapat layanan yang sangat baik dan mesra. Terima kasih Tabung Haji.

Pemandangan di Bilik Rehab, hari kedua Nek Ngah di sini

Bila orang kampung dapat tau Nek Ngah masuk 'hospital', semua rasa cemas - hantar SMS, suruh rehat-rehat je, diiringi doa pasal dia orang tau betapa sibuknya Nek Ngah sebelum itu. Terima kasih semua, actually Nek Ngah enjoy 2 hari tinggal di wad tu. Bila dah discharge, 3 hari berikutnya Nek Ngah kena dapatkan terapi daripada Pysiotherapist Hjh. Zarina yang sangat lemah lembut lagi tegas. Nek Ngah belajar bagaimana nak mudah keluarkan kahak. Terima kasih semua, semoga jasa kalian mendapat balasan sewajarnya daripada Allah swt. Amin.

Juga tak lupa terima kasih kepada adik-adik yang menjenguk Kak N nya semasa di wad :
Buku penting mesti bawa

Ma'a salamah wa illal li qa' . . . Bye sehingga jumpa lagi!

Tuesday, December 21, 2010

BILIK 933

Ahlan wa sahlan! Kali ini Nek Ngah nak 'story' (hee, hee) mengenai bilik Nek Ngah selama berada di Makkah Al-Mukarramah. Alhamdullillah, syukur kepada Allah, Nek Ngah dan Nek Asni dapat bilik yang sangat luas dan selesa - Tingkat 9, Bilik 933. Tenguklah pelan lantai Tingkat 9 ni - dapat cari bilik no.33? Kan besar tu . . . bila bandingkan dengan bilik-bilik lain kan? Masa buat haji dulu-dulu, biliknya sempit pasl penuh dengan katil dan beg-beg pakaian.


Gambar di bawah ni pulak ruang corridor - pintu tengah tu bilik Nek Ngah dan sebelahnya di kanan gambar, bilik Tok Shau dan Tok Lan (6 orang sebilik).

Dalam bilik Nek Ngah ada 8 katil, disediakan juga tilam tebal, bantal serta selimut tebal (sekarang musim sejuk). Lihatlah gambar berikut susunan katil-katil berhampiran dinding dan di tengah terdapat ruang luas untuk makan-makan dan solat berjemaah.Di tengah ada meja rendah (gambar bawah) di mana kami lambakkan makanan kami - tenguklah Nek Asni sedang menikmati sarapan dia - bubur nasi!

Dan yang membuat Nek Ngah rasa selesa sangat di sini ialah mendapat room-mates adik-adik yang muda-muda, bertolak ansur, berkerjasama dan sporting! "Terima kasih adik-adik Kak N kerana menceriakan hari-hari Kak N."

Adik-adik Hajjah sedang menunggu untuk solat berjemaah di tengah ruang bilik.

Lagi satu yang bestnya bilik 933 ni ialah kita boleh lihat jam besar dekat Masjid Al-Haram juga menara serta sebahagian bangunan Sai'e dari tingkap tu. Nak tahu pukul berapa, tenguk je kat tingkap - siang ke malam ke, jelas sekali kelihatan. Syukur Alhamdullillah . . . .

Gambar diambil dari tingkap bilik 933 - alahai . . dekatnya Masjid (kalau kita burung!) Tu nun di tengah tu Jam Besar kat Masjid Al-Haram.

Akhir sekali Nek Ngah (Kak N) nak rakamkan di sini gambar group-photo adik-adik penghuni bilik 933 yang sangat menyayangi diri ini. Semoga Allah berkati kehidupan kalian seterusnya. JazakumuAllahu khairan, terima kasih . . .

Depan dari kiri - Ainon, Ji, Piah, Zaidah.
Baris tengah - Nek Asni (Mami) & Badar.
Berdiri di belakang sekali - Along a.k.a Che Rosnah.
Jurugambar (tak de nampak sini) - Nek Ngah a.k.a Kak N

Monday, December 20, 2010

AL-JANADRIYAH

Marhaban bi kum !!! Selamat Datang sekali lagi. Nek Ngah nak teruskan cerita Nek Ngah hari ni - tentang tempat tinggal Nek Ngah semasa di Makkah - tu di Bangunan Abraj Al-Janadriyah (Janadriyah for short).

Janadriyah

Bangunan Al-Janadriyah tersergam 15 tingkat & di sebelah highway yang nampak macam jambatan tu (lihat gambar di atas). Setiap kali nak ke Masjidil Haram, Nek Ngah kena lalu di bawah jambatan tu. Nek Ngah rasa bersyukur ditempatkan di sini kerana Janadriyah ialah Ibu Pejabat (HQ) Tabung Haji. Senanglah nak berurusan jika ada problem. Dalam bangunan ini terdapat beberapa kemudahan seperti Pusat Perkhidmatan Maktab, Klinik, Hospital Kecemasan, Farmasi, Kaunter Pengeluaran/Dam & Qurban, Kafeteria, Gerai-gerai jual gula-gula / biskut, minyak wangi, kitab-kitab / Quran, mobile phone & 'top-up' (sangat popular), kedai dhobi dan Surau. Juga terdapat kemudahan nak hantar barang balik Malyasia (juga sangat popular). Ehhh . . . macam-macam ada lah! Nek Ngah difahamkan ada lebih kurang 2,500 jemaah di tempatkan di sini! Itu tak termasuk pegawai & petugas Tabung Haji! Ramai tu . . . Yang Nek Ngah nampak tertulis Maktab 72, 73, 74. Mungkin ada lagi, ramainya orang . . Nek Ngah tak pasti.

Kaunter Perkhidmatan

Hjh. Safiah, roomate, ambil ubat di Farmasi

Di gerai gula-gula - siapa lagi, Nek Ngah lah!

Nek Ngah beli banyak kitab di sini.

Tok Shau bantu di Gerai Khidmat Hantar Barang

Khidmat Dhobi - siapa tuuu . .

Ruang legar di Tingkat Bawah, terdapat berita, notis ditampal di tiang-tiang. Juga di sini terdapat 2, 3 TV plasma yang menayangkan secara langsung suasana di Masjidil Haram dan juga info-info Tabung Haji. Canggih!


Ini pulak Ruang legar Tingkat 9, tingkat Nek Ngah, kiri-kanan ada lift dan sini juga ruang untuk Ceramah dan tempat solat berjemaah bagi penghuni Tgkt 9 yang tak larat ke Masjid.

Ni pun penghuni Tgkt 9 sedang mendengar ceramah agama.

Komen Nek Ngah - Memang best di Janadriyah!